MINDA:MENGENAL KEAGUNGAN ALLAH
Susunan Hashim Ahmad
SESUNGGUHNYA Allah Maha Besar dan Maha Agung. Akan tiba masanya bagi seluruh manusia menyaksikan bagaimana bumi digenggam-Nya dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya.
Saat itu terjadi pada hari kiamat di mana pada hari berkenaan segala amal hamba-Nya akan dihisab dan pada hari itu juga Allah akan menunjukkan kekuasaan dan kebesaran-Nya.
Firman Allah bermaksud: “Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya, padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.” (Surah Az-Zumar: Ayat 62)
Imam Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa ayat di atas adalah berkenaan sifat Allah.
Kita mengimani bahawa bumi itu benar-benar digenggam dengan tangan Allah dan langit itu benar-benar digulung dengan tangan kanan-Nya.
Allah menggulung langit seperti menggulung lembaran kertas sebagaimana yang termaktub dalam surah Al-Anbiyaa ayat 104 yang bermaksud: Iaitu pada hari Kami gulung langit sebagaimana menggulung lembaran-lembaran kertas.”
Dalam ayat yang lain, Imam Ibnu Katsir mentafsirkan firman Allah yang bermaksud: “Mereka tidak menghargakan Allah dengan harga yang sebenarnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Teguh.” (Surah Al Haj: Ayat 74)
Ayat di atas membawa erti orang musyrik tidak menghargakan Allah dengan penghargaan yang sebenarnya.
Ketika mereka menyembah Allah, mereka menyembah pula kepada yang lain-Nya. Padahal Allah adalah Maha Besar yang tidak ada yang lebih besar daripada-Nya, Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu dan Yang Memiliki segala sesuatu. Semuanya berada di bawah ketentuan dan kekuasaan-Nya.
Ibnu Abbas berkata bahawa yang dimaksudkan dengan: “Dan mereka tidak menghargakan Allah dengan penghargaan yang semestinya” adalah orang kafir yang tidak beriman kepada kudrat Allah atas mereka.
Maka barang siapa yang beriman bahawa Allah itu Maha Kuasa terhadap segala sesuatu, dia mengagungkan Allah dengan pengagungan yang sebenarnya.
Dan, barang siapa yang tidak beriman terhadap hal itu, sesungguhnya dia tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang sebenarnya.
Banyak sekali hadis yang berkaitan dengan ayat yang mulia ini. Ibnu Mas’ud umpamanya berkata: “Salah seorang pendeta Yahudi datang kepada Rasulullah dan berkata: Wahai Muhammad! Sesungguhnya kami menjumpai dalam kitab suci kami bahawa Allah akan meletakkan langit di atas satu jari, air di atas satu jari, tanah di atas satu jari dan seluruh makhluk di atas satu jari.
Maka Allah berfirman: “Akulah penguasa!” Tatkala mendengarnya, tertawalah Rasulullah sehingga nampak gigi baginda kerana membenarkan ucapan pendeta Yahudi itu.
Kemudian baginda membacakan firman Allah: “Dan mereka tidak menghargakan Allah dengan penghargaan yang semestinya, padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat…” (Mutafaq alaih)
Hadis ini menunjukkan bahawa Allah mempunyai jari sebagaimana Allah mempunyai kedua tangan. Allah juga memiliki jari, tetapi jari tangan Allah tidaklah sama dengan jari tangan makhluk-Nya sebagaimana firman-Nya: “Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai-Nya dan Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Assyuura: Ayat 11)
Imam Muslim meriwayatkan sabda Rasulullah dalam hadis lain yang bermaksud: “…gunung-gunung dan pohon-pohon di atas satu jari, kemudian digoncangkannya dan berfirman: “Akulah penguasa, Akulah Allah.”
Imam Bukhari pula meriwayatkan sabda Rasulullah dalam hadis yang bermaksud: “…meletakkan semua langit di atas satu jari, air serta tanah di atas satu jari dan seluruh makhluk di atas satu jari…”
Imam Muslim juga meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda yang maksudnya berbunyi: “Allah akan menggulung seluruh lapisan langit pada hari kiamat, lalu diambil dengan tangan kanan-Nya dan berfirman: “Akulah Penguasa, mana orang yang berlaku zalim, mana orang yang berlaku sombong?” Kemudian Allah menggulung ketujuh lapis bumi lalu diambil dengan tangan kiri-Nya dan berfirman: “Akulah Penguasa, mana orang yang berlaku zalim, mana orang yang berlaku sombong.” (Hadis Marfu)
Hadis yang diriwayat Abu Dzar merupakan hadis sahih bila mana beliau bertanya kepada Rasulullah: “Ya Rasulullah ayat apa yang paling besar dan paling agung di dalam al-Quran?” Rasulullah menjawab: “Ayat Kursi. Perbandingan tujuh langit dengan kursi seperti satu gelang yang dilemparkan di tengah-tengah bumi ini dan perumpamaan keutamaan Arsy Allah dengan kursi seperti perumpamaan bumi ini dengan gelang besi itu.”
Yang dimaksudkan dengan kursi menurut penafsiran yang sahih daripada Ibnu Abbas bahawa kursi itu adalah tempat kedua kaki Allah atau tempat Allah meletakkan kedua kaki-Nya dan Arsy (tempat Allah bersemayam) tidak ada yang mampu mengukurnya kecuali Allah sendiri.
Diriwayatkan oleh Ibnu Mahdi daripada Hamad bin Salamah daripada ‘Ashim daripada Zirr daripada Abdullah bin Mas’ud beliau berkata: “Antara langit yang paling bawah dengan langit berikutnya jaraknya 500 tahun dan antara setiap langit jaraknya 500 tahun, antara langit yang ketujuh dengan kursi jaraknya 500 tahun dan antara kursi dan samudera air jaraknya 500 tahun sedangkan Arsy berada di atas samudera air itu dan Allah berada di atas Arsy itu. Tidak tersembunyi bagi Allah suatu apapun daripada perbuatan kamu sekalian.”
Ibnu Hatim pula meriwayatkan dengan sanadnya daripada Jabir bahawa Rasulullah bersabda: “Aku diizinkan untuk memberitahu kepada kamu mengenai malaikat yang memikul Arsy bahawa jarak antara daun telinga dan lehernya adalah sejauh 700 tahun perjalanan burung terbang.” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud)
Hadis ini menunjukkan bahawa Arsy merupakan makhluk Allah yang terbesar di mana Arsy ini akan dijunjung oleh beberapa malaikat sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Katsir dalam tafsirnya ketika beliau menafsirkan surah Al Haaqqah ayat 17: “Dan pada hari itu lapan malaikat menjunjung Arsy Rabbmu di atas mereka.”
Diriwayatkan daripada Sa’ad bin Jubair bahawa jumlah malaikat pemikul Arsy adalah lapan saf. Demikian pula berita yang diterima daripada Ibnu Abbas. Dan dalam satu saf, tidak terkira jumlahnya.
Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Segala puji hanya milik Allah Rabb sekalian alam. Setelah kita membaca ayat di atas, diikuti tafsir dan keterangan hadis yang memuatkan mengenai kebesaran dan keagungan Allah akan membuat diri kita semakin kecil dan hina di hadapan-Nya dan akan berusaha memacu jiwa kita agar jangan sampai menjadi hamba-Nya yang derhaka.
0 si comel rama-rama:
Post a Comment
Sila berhemah dalam memberi setiap komen atau cadangan. Terima kasih kerana menghargai blog ini.
Setiap ilmu yang dikongsikan ada manfaatnya.
Boleh menggunakan tag HTML seperti:
<b>, <i>, <a>