“Hidup ini umpama roda, sekejap kita di atas dan sekejap kita di bawah..meskipun kita berada di bawah jangan pernah berputus asa dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menggerakkan roda hidup kita agar kembali berputar ke depan ke destinasi yang ditujui dalam mencapai kebahagiaan dan kecemerlangan hidup dalam redha Allah swt…”


(◕‿◕✿) THANK YOU. I'LL FOLLOW YOU BACK!!!

BERLAKON CEMERLANG PUPUK SIKAP POSITIF


BERLAKON CEMERLANG PUPUK SIKAP POSITIF

“UNTUK berjaya, anda juga harus berkawan dengan orang yang berjaya,” kata Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin), Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Menurutnya, sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif dan ia boleh menjadi contoh kepada anak-anak atau remaja yang mahukan kejayaan seperti mana yang diraih mereka yang sudah membentuk kecemerlangan.

Katanya, kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapan atau penampilan seperti pakaian, rambut, kasut dan gaya mereka.

“Tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif melalui penampilan yang positif.

“Oleh itu sekiranya kita memilih kawan yang positif, bergaul dengan orang berjaya, banyak berbincang mengenai apa yang mahu dicapai pada masa depan, pasti ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian kita.

“Pastinya kita turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Mereka yang gagal hanya akan mampu menceritakan kisah kegagalan mereka sedangkan mereka yang berjaya pula akan menceritakan kisah kejayaan mereka,” katanya.

Katanya, untuk berjaya kita bukan hanya perlu berkawan dengan mereka yang berjaya malah belajar daripada pengalaman dan pengetahuan mereka. Selain itu, kita juga harus mempelajari cara mereka membentuk personaliti mereka di kalangan masyarakat.

Beliau mengakui, orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti yang mengagumkan.

Menurutnya, personaliti itu bukannya lahir secara semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya namun kita juga boleh melakukan perkara serupa.

Untuk membina sikap positif dalam diri, beliau menyarankan amalan beberapa petua manakala petua terpenting adalah melakonkan watak orang cemerlang. Bagi merealisasikannya, harus mengubah penampilan diri.

Dr Tengku Asmadi juga mengingatkan bahawa pelaburan yang dilakukan dalam membentuk penampilan diri atau imej positif mestilah membawa pulangan setimpal atau berbaloi.

“Kalau anda melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri semata-mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan diri sendiri.

“Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan diri lebih positif dan produktif. Sebab itu, ramai jurujual profesional mempunyai penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan sedemikian. Mereka meraih keuntungan dan pendapatan dengan mempunyai penampilan positif,” katanya.

Perunding motivasi ini turut menekankan, manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri selain mempunyai model ikutan yang boleh diteladani.

Beliau turut menceritakan kisah kejayaan jeneral tentera Amerika yang begitu dikagumi semua disebabkan kejayaan demi kejayaan yang dibawanya dalam peperangan. Ia berlaku sewaktu perang dunia kedua.

Seorang prebet tidak berpuas hati lalu terus bertanya sebanyak tiga kali, dan tiga kali juga dia memperoleh jawapan serupa.

Prebet itu bertanya lagi, “Tuan, tiga kali saya tanya tuan tetapi tuan tetap berikan jawapan serupa, kenapa begitu tuan?"

Lalu jeneral berkata, “Kalau kamu mahu jadi seperti saya, kamu mesti berfikir seperti saya, berjalan dan bercakap seperti saya, tindakan kamu pastinya juga seperti saya. Kamu hanya boleh jadi seperti saya sekiranya kamu lalui jalan yang saya lalui. Kalau kamu lalui jalan berbeza, kamu akan sampai ke destinasi yang berbeza.”

Lalu pemuda itu melakonkan setiap watak jeneral dalam kehidupan hariannya. Kira-kira 20 tahun kemudian, prebet itu berjaya merealisasikan matlamatnya menjadi seorang jeneral dalam pasukan tentera Amerika.

Menurut Dr Tengku Asmadi, bagi pelajar, mereka harus bertindak seperti pelajar cemerlang di sekolah.

“Mengurus masa, membabitkan diri secara aktif serta berperibadi mulia seolah-olah anda sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya nanti, mereka akan memperolehi apa yang dicapai pelajar cemerlang lain.

“Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu menjadi pelakon itu hari ini, Allah akan pilih orang lain untuk menggantikan tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan berjaya.

“Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulama, peguam dan sebagainya. Orang lain akan dikenali dan nama mereka disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam masyarakat.

“Sebenarnya, untuk berjaya kita mesti mula berlakon hari ini. Hayati watak orang cemerlang. Fikir seperti mana mereka berfikir, bercakap, bergaya dan bertindak seperti mereka.

“Lama-kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian. Ia akan menjadi sikap baru dalam diri kita. Kita akan dapati mereka di sekeliling kita menyedari yang kita kini bersikap positif.

“Setiap kebaikan yang bakal diperoleh hasil lakonan positif membuatkan kita tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif kita sekarang. Kita pula mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru,” katanya.


Pecah Kaca..Pecah Cermin..Sudah Baca..Sila lah Komen.. :)

0 si comel rama-rama:

Post a Comment

Sila berhemah dalam memberi setiap komen atau cadangan. Terima kasih kerana menghargai blog ini.
Setiap ilmu yang dikongsikan ada manfaatnya.
Boleh menggunakan tag HTML seperti:
<b>, <i>, <a>

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...