Saya ada seorang kawan, namanya Ain (bukan nama sebenar) yang merupakan teman sebilik saya dan kami sekarang sedang mabuk bercinta dengan seorang lelaki, Asrul (buka nama sebenar). Dahulu saya dan Ain merupakan teman yang sangat rapat, tetapi sejak kehadiran Asrul, Ain sudah berubah dengan ketara. Saya sangat risaukan dia memandangkan pelajarannya sering diabaikan dan lebih banyak melayani teman lelakinya setiap hari.
Masa mereka lebih banyak dihabiskan bersama di luar tanpa mengulangkaji pelajaran. Di bilik pula, mereka akan saling membalas SMS sehingga lewat malam. Entah apa yang mereka bualkan saya tidak tahu, tetapi saya pasti bukan tentang pelajaran memandangkan Ain tidak memegang pen dan tiada buku padanya untuk mencatat.Ain pernah ceritakan pada saya bahawa dia tak mahu menghampakan ibu bapanya dalam pelajaran dan ingin berusaha bersungguh-sungguh. Sebelum ini dia memang seorang yang tekun.
Namun, kehadiran Asrul telah mengubah sikapnya. Ain seolah-olah telah melupakan ibu bapanya dan hanya mendengar cakap teman lelakinya sahaja.Saya juga tidak senang dengan sikap si Asrul memandangkan dia merupakan seorang yang suka mengawal Ain. Ke mana sahaja Ain pergi, perlu memberitahunya walaupun sekadar ke tandas. Jika tidak, dia akan marah-marah sehinggakan sering terjadi pergaduhan antara mereka. Apabila hal ini terjadi, Ain seolah-olah terpukau dan akhirnya menurut sahaja kata-kata Asrul dan berbaik semula dengannya.
Saya telah nasihatkan Ain supaya tinggalkan Asrul. Malangnya, ketika Ain bertekad meninggalkannya, Asrul berpura-pura gila sehinggakan atas nama kemanusiaan Ain kembali padanya. Saya buntu. Perkara ini telah sampai ke pengetahuan bapa Ain dan beliau telah melarang Ain bersama dengan Asrul. Tetapi, dalam diam Ain kembali kepada Asrul.
Apakah yang ingin diterangkan di sini ialah
Assalamualaikum�.
Petikan di atas merupakan kisah benar yang terjadi kepada seorang pelajar di sebuah matrikulasi dan merupakan antara puluhan kisah benar yang telah diceritakan kepada penulis. Inilah hakikat pelajar sekarang tidak kira di sekolah rendah mahupun di universiti. Melihat kepada trend pelajar kini yang kebanyakannya semakin hanyut dalam percintaan, penulis ingin pembaca berfikir dan memilih, antara kekasih dan ibu bapa.
Seorang insan tidak akan wujud tanpa ibu dan bapa. Apabila kita dilahirkan ke dunia, kita dijaga dan dibelai dengan penuh kasih sayang bersama harapan yang menggunung tinggi supaya kita menjadi insan yang berjaya suatu hari nanti. Ibu dan ayah berusaha sebaik mungkin agar kita mendapat pendidikan yang terbaik tanpa mereka kenal erti penat dan lelah. Bagi mereka, biarlah mereka penat asalkan anak mereka dapat menjadi seorang yang berjaya.
Malangnya, para pelajar sekarang kebanyakannya tidak lagi mengendahkan harapan ibu bapa mereka sedangkan ibu bapa lebih tahu yang terbaik untuk kita. Sebaliknya, mereka lebih selesa menikmati alam percintaan yang belum pasti arah tujunya. Jadi tidak hairanlah sekiranya berlaku sebagaimana yang terjadi dalam kes di atas.
Benar bercinta mampu membuat kita berasa senang, terasa ringan beban yang ditanggung dan membuatkan kita bahagia. Tetapi para pelajar harus ingat, bahana bercinta membawa kesan yang jauh lebih besar jika fikirkan dengan sebaik-baiknya. Berikut merupakan sebab kenapa kita perlu memilih dan mentaati ibu bapa daripada mentaati kekasih:
1. Suruhan ALLAH S.W.T
Sesungguhnya, semua pembaca yang beragama Islam telah sedia maklum bahawa mentaati ibu bapa merupakan satu keutamaan yang besar kepada setiap umat Islam. Sesiapa sahaja yang melanggar perintah ibu bapa (selagi tidak melanggar perintah ALLAH) adalah dianggap telah menderhakai kedua orang tuanya. Oleh itu, sesiapa sahaja yang memilih kekasihnya boleh dikatakan tidak mentaati kedua ibu bapanya. Jadi, pembaca sekalian fikirlah sendiri, ibu bapa atau kekasih?
2. Merugikan diri sendiri
Kenapa merugikan diri sendiri? Mungkin ada yang mengatakan bahawa mempunyai pasangan membuatkan mereka lebih bersemangat untuk bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Tetapi pembaca perlu sedar bahawa sekadar mempunyai semangat, tidak cukup untuk membuatkan seseorang itu hebat dalam pelajaran. Untuk hebat dalam pelajaran, seseorang itu perlu bersungguh-sungguh dan memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran. Tetapi, benarkah seseorang yang sedang hangat bercinta mampu menumpukan sepenuh perhatiannya dalam pelajaran? Bagi penulis berdasarkan pengalaman sejak dari sekolah, telah ramai yang kecundang dan keputusan mereka tidaklah sehebat pelajar solo. Kenapa?
Jawapannya mudah sahaja. Apabila sudah dilamun cinta, fikiran hanya memikirkan tentang kekasih hati sahaja tambahan lagi apabila mereka mengulangkaji pelajaran bersama. Hal ini masih terjadi kepada beberapa orang rakan penulis sehingga sekarang.Bercinta masih merugikan diri sendiri terutama sekali kepada golongan hawa. Kenapa? Cubalah fikir, adakah hubungan cinta yang dijalin itu terjamin untuk sampai ke jinjang pelamin. Jawapannya mudah. TIDAK! Jika orang yang telah berkahwin boleh bercerai, yang bertunang masih boleh putus, inikan pula pasangan yang masih belum mempunyai apa-apa ikatan.
Bayangkan, jika anda (kaum hawa) telah melakukan hubungan terlarang, siapakah yang rugi? Lelaki, tidak rugi apa-apa bahkan yang paling rugi adalah anda. Jika anda telah mengandungkan anaknya hasil hubungan yang haram, apa yang akan terjadi kepada anda? Apabila berita anda mengandung anak luar nikah terheboh, pastinya keluarga anda dapat malu. Kesannya bertambah mendalam jika si lelaki tadi tidak mahu bertanggungjawab. Hal ini, rasanya tak perlu penulis terangkan dengan panjang lebar kerana penulis percaya mahasiswa mampu memikirkan kesan selanjutnya.
Bukan itu sahaja, kesannya turut melibatkan konteks yang lebih besar lagi. Apabila pelajaran terabai dan keputusan yang diperoleh tidak memuaskan, sudah tentu pekerjaan yang diperolehi jugak tidak akan memuaskan dan sudah pasti pendapatan juga kurang memuaskan. Cuba anda fikirkan, di masa hadapan nanti kos sara hidup semakin meningkat. Dengan pendapatan yang tidak seberapa, senangkah hidup anda?
3. Menghampirkan diri kepada zina
Benar! Perbuatan bercinta sebelum kahwin ini boleh menghampirkan diri kepada zina. Siapa yang tidak tahu? Tipulah kalau dia kata tidak tahu. Bagi orang Islam, zina merupakan satu dosa besar yang memberikan kesan yang lebih dahsyat dan amat dilarang mendekati zina. Bila dikatakan JANGAN MENDEKATI, maka bermaksud tidak boleh melakukan sebarang perkara yang membawa kepada zina. Hal ini termasuklah bercinta sebelum perkahwinan kerana orang yang bercinta ini sering berdua-duaan. Lambat laun, godaan syaitan pasti akan berjaya.
Penzinaan merupakan satu perbuatan yang hina dalam mata masyarakat. Sesiapa yang berzina akan disisihkan dari masyarakat dan mereka akan dipandang serong sebagai orang yang tidak berakhlak kerana zina bukanlah akhlak yang baik. Boleh dikatakan kita sekarang semakin menghampiri masyarakat jahiliah sebagaimana masyarakat Quraisy sebelum kedatangan Islam. Kenapa? Jika kita membaca berita yang dikeluarkan akhbar-akhbar tempatan sejak akhir-akhir ini, gejala pembuangan bayi semakin menjadi-jadi. Hampir setiap minggu, pasti ada bayi yang ditemui sama ada hidup atau mati.
Peningkatan kes ini menunjukkan bahawa keruntuhan akhlak dan moral menjadi semakin serius dan keruntuhan akhlak dan moral memberikan kesan yang lebih besar kepada negara. Negara akan kehilangan generasi muda yang bakal menerajui negara pada masa akan datang. Bukan itu sahaja, malah dengan berlakunya keruntuhan moral dan akhlak kadar jenayah akan meningkat dan perbalahan besar mungkin akan berlaku. Apabila hal ini terjadi, negara berada dalam keadaan kucar-kacir dan tiada lagi keharmonian.
Jadi, pilihan di tangan anda. Inginkan negara yang aman makmur harmoni, atau kucar-kacir? Inginkan pengukuhan institusi keluarga atau keruntuhannya? Ingin menjadi insan yang berakhlak atau tidak bermoral seperti masyarakat jahiliah? Kekasih, atau ibu bapa?
Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI IBU diucapkan kepada Pn Zaiton dan Pn Jaliah. Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang emak berikan kepada kami selama membesarkan dan menguruskan kami sekeluarga.Tidak mungkin kami dapat membalas kesemua jasa-jasa yang emak berikan kepada kami, terlalu banyak dan tidak ternilai harganya. Engkaulah 'RATU HATI KAMI' buat selamanya dan tiada gantinya, I LOVE U MOM. Terimalah lagu nyanyian dari Taufik Baltisah buat emak-emak kami tercinta
SUMBER: MURABBI
0 si comel rama-rama:
Post a Comment
Sila berhemah dalam memberi setiap komen atau cadangan. Terima kasih kerana menghargai blog ini.
Setiap ilmu yang dikongsikan ada manfaatnya.
Boleh menggunakan tag HTML seperti:
<b>, <i>, <a>